Teknologi baru sedia makanan
Wanita berwawasan ini sudah pun berjaya dalam bidang hartanah, namun sikap tidak mudah berpuas hati dan semangat mahu terus memajukan diri membawanya ke satu tahap lain dalam hidupnya.
Memiliki hati berkobar-kobar untuk terus menyumbang idea inovatif demi memudahkan tugas memasak golongan ibu sepertinya, akhirnya mendorong dia memasuki industri penyediaan makanan.
Perkenalan dengan dua rakan yang juga pakar dalam dunia masakan, mendorong Dwee Wai Fun, 40, atau lebih dikenali sebagai Melissa, untuk memperkenalkan teknologi terbaru penyediaan bahan makanan.
Idea yang terhasil daripada perbincangan dengan rakan sekeliling dalam industri masakan, membawa kepada satu inovasi yang bukan saja mampu mengekalkan rasa asli hidangan tradisi tetapi juga bebas bahan pengawet.
Menurut Pengarah Urusan SPI Manufacturing Sdn Bhd, sejak 11 tahun lalu syarikatnya berjaya menghasilkan produk makanan dalam bentuk serbuk yang memberi rasa asli tetapi tidak memiliki sebarang bahan asing.
Katanya, dirinya seorang yang amat menitikberatkan pemakanan sihat kerana memikirkan kesihatan keluarga terutama anak kecil apatah lagi dia juga seorang ibu kepada tiga anak lelaki.
“Produk begini juga memudahkan ia dibawa ke mana-mana termasuk ke luar negara selain menyenangkan kerja memasak terutama untuk ibu di rumah yang ada anak kecil.
“Sebagai wanita dan ibu, saya sendiri tidak mahu menghabiskan terlalu banyak masa di dapur kerana ada banyak lagi tugasan yang perlu disiapkan tetapi kita mahu menyediakan hidangan sihat yang menjimatkan untuk keluarga.
“Malah, saya akui anak-anak saya membesar dengan makan hidangan yang dimasak menggunakan produk keluaran syarikat sendiri,” katanya yang menghasilkan produk di bawa jenama Spargo Mills.
Rempah masakan dan kesihatan
Percaya dengan khasiat dan kebaikan rempah serta bahan semula jadi, Melissa turut menggunakan ia sebagai alternatif bagi merawat rasa lemah tubuh.
Katanya, dua daripada tiga anaknya belajar di luar negara, iaitu Amerika Syarikat dan Switzerland. Anaknya itu sentiasa dibekalkan dengan produk berkenaan bagi memudahkan mereka dapat terus menikmati hidangan sihat.
Selain itu, katanya, anaknya sudah biasa makan makanan tradisional dan akan merindui masakan tempatan setiap kali berada lama di luar negara.
Pada masa sama, campuran rempah-ratus yang dibekalkan itu ada kalanya digunakan sebagai rawatan alternatif untuk anak-anaknya.
“Ada satu hari, anak menelefon dan mengadu tekaknya sakit dan rasa tidak sihat. Teringat yang dia sentiasa ada paket kari bersamanya, saya menyarankan dia mencampurkan serbuk kari itu bersama air panas, biarkan suam sebelum meminumnya.
“Sehari selepas itu, dia menghubungi semula dan mengakui badannya rasa sihat kembali. Disebabkan itu, saya lebih yakin dengan kebaikan rempah yang bukan saja bagus untuk menyedapkan makanan tetapi juga kesihatan kita.
“Saya membesarkan anak-anak dengan hidangan yang mengandungi pelbagai jenis rempah dan saya boleh akui, mereka tidak pernah sakit serius dan jarang demam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Melissa, biarpun sibuk dalam perniagaan hartanah dan kini menguruskan syarikat mengeluarkan bahan masakan, dia tetap mengutamakan kebajikan anak-anak serta mengambil tanggungjawab menguruskan mereka.
Katanya, ini kerana dirinya memang sukakan kanak-kanak dan menjadi ibu umpama anugerah terbaik dalam hidupnya.
“Disebabkan itu, terdetik dalam hati saya untuk menghasilkan produk yang mampu membantu memudahkan tugas ibu di rumah kerana saya faham dengan situasi mereka.
“Tugas ibu bukan saja menguruskan anak-anak tetapi juga menjaga rumah serta keperluan suami. Pada saya, ia adalah satu tugas yang sangat mencabar,” katanya yang turut memasarkan produk di laman www.homedeal.my dan www.lazada.com.my.
Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya itu, biarpun sibuk dengan kerjayanya, dia tetap meluangkan lebih masa dengan keluarga dan memberi kepercayaan kepada kakitangan untuk menjalankan tugas mereka.
Memiliki sebuah kilang di Kota Damansara, Melissa berkata, keseimbangan penting dalam kehidupan setiap wanita berkeluarga supaya mereka dapat menjadi individu yang lebih gembira, seterusnya ibu yang lebih baik.
Dia berpegang kepada falsafah ‘buat sesuatu dengan bersungguh, pasti akan berjaya’, selain percaya semua orang harus melayan individu di sekelilingnya dengan baik jika mahu dirinya juga dilayan dengan baik.
Katanya, sebagai ahli perniagaan wanita berjaya, keluarga tetap menjadi keutamaan dan anak-anak sentiasa diletakkan di tempat pertama dalam apa juga keadaan.
“Anak-anak adalah pemimpin masa hadapan dan perlu diberi ruang untuk membesar secara sihat mental dan fizikal.
“Saya akan habiskan masa dengan mereka dan setiap saat dirasakan amat berbaloi. Saya mahu mereka menjadi individu yang berguna kepada masyarakat,” katanya.
Masa untuk diri sendiri
Tidak melupakan keperluan diri sendiri, Melissa juga tetap meluangkan masa mengunjungi gimnasium dan spa, untuk memastikan kesihatan terjaga selain menenangkan minda.
Katanya, pada waktu lapang, dia suka membaca selain terbabit dengan aktiviti berbentuk kemasyarakatan kerana percaya setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk memberi sumbangan kepada kebaikan komuniti setempat tidak kira sekecil mana atau apa pun bentuknya.
“Kehidupan ini adalah satu perjalanan yang amat indah dan jika diberi pilihan, saya sukakan diri saya kini kerana pelbagai pengalaman yang dilalui menjadikan saya lebih baik.
“Cabaran yang dilalui sebelum ini dalam membangunkan perniagaan dan pelbagai rintangan lain menjadikan saya lebih matang dan tenang. Saya seorang yang ceria dan sangat penting untuk kita sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang dilalui.
“Pendidikan yang tinggi penting tetapi untuk menjadi manusia berjaya, kita perlu memiliki minda, sikap, moral dan prinsip yang betul selain bertegas dengan pilihan yang sudah dibuat,” katanya.
Selain itu, Melissa tidak pernah menetapkan tempoh untuk bersara sebaliknya akan terus bekerja selagi terdaya kerana kerjaya dapat mengisi masa lapang dengan sesuatu yang bermanfaat selain membuatkan dirinya gembira.
Katanya, dia akan terus mengembangkan perniagaannya tetapi perancangan jangka panjangnya adalah menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga.
Melissa turut melahirkan rasa kagum kepada fenomena wanita menjalankan perniagaan dari rumah ketika ini tetapi pada masa sama dapat menguruskan keperluan keluarga dengan baik.
“Bagi saya, erti kejayaan seseorang bukan setakat kerjaya, tetapi sekiranya dia boleh menjaga dan membesarkan anak-anak dengan baik, dia adalah insan yang berjaya.
“Wanita yang mahu terbabit dalam bidang perniagaan juga perlu bertanya pada diri sendiri, adalah mereka sanggup beri komitmen dan mampu menyeimbangkan dengan keluarga, jika jawapannya ya, teruskan,” katanya.
Comments
Post a Comment