Disiplin: Berilah pandangan, kementerian sudah buat cadangan

KUALA KUBU BHARU : Kementerian Pendidikan meminta Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan persatuan ibu bapa, mengemukakan cadangan terbaik membanteras isu pelajar bermasalah.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihak berkaitan perlu beri cadangan jika tidak bersetuju dengan cadangan kementerian untuk menempatkan pelajar bermasalah disiplin yang teruk, menjalani program pemulihan di penjara dan lokap.
"Saya mengalu-alukan persatuan dan ibu bapa untuk menyumbangkan idea dan memikirkan kaedah bagaimana untuk mengatasi masalah buli di sekolah.
"Kementerian sudah mengemukakan cadangan mengatasi masalah disiplin supaya ketua pembuli dan pelajar samseng yang melakukan tindakan serius sedar dan insaf kesilapan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Hulu Selangor, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk P Kamalanathan dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.
Terdahulu, di Tampin pagi tadi, Mahdzir mengumumkan kementerian sedang merangka program pemulihan di penjara dan lokap selama enam bulan kepada pelajar bermasalah disiplin serius, dalam usaha memerangi isu gejala sosial di sekolah.
Dalam reaksi segera, Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak, mahu kementerian mendapatkan restu ibu bapa sebelum menjalani program itu selain, berisiko menyebabkan pelajar mengalami trauma.

Sementara itu, Mahdzir berkata UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu membina semangat dan melipatgandakan kekuatan jentera untuk menawan semula negeri yang kalah dalam pilihan raya umum, lalu.
"UMNO hilang kerusi di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan kerana berlaku pergaduhan dan masalah dalaman parti.
"Selain itu, ada ahli daripada parti komponen dan Melayu bandar didapati mengundi pembangkang. Ini antara tiga faktor menyebabkan kita kalah di beberapa negeri," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

KATA KERJA ( TRANSITIF & TAK TRANSITIF )

SISTEM EJAAN DAN SEBUTAN BAKU

KATA NAMA