Pelajar 'gangster' dihantar ke lokap, penjara

Tampin: Pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius, akan dihantar menjalani program pemulihan di penjara dan lokap dalam usaha Kementerian Pendidikan memerangi gejala sosial di sekolah.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata program yang sedang dirangka itu dijangka siap tidak lama lagi sebelum dilaksanakan secara rasmi.
"Buat permulaan, program ini akan membabitkan kumpulan pelajar yang sudah digantung persekolahan selama enam bulan disebabkan masalah yang disiplin serius termasuk buli.
"Mereka akan dihantar ke penjara, lokap polis dan Sekolah Henry Gurney (sekolah pemulihan) untuk tempoh tertentu sepanjang penggantungan, bagi melihat sendiri bagaimana pesalah lebih serius daripada mereka menjalani hukuman.
"Berbekalkan pengalaman berada di tempat sedemikian, kita berharap mereka insaf, seterusnya berubah menjadi insan yang lebih baik," katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Tampin di Dewan Perdana di sini, semalam.
Yang turut hadir, Ketua UMNO bahagian Tampin, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan sijil penghargaan kepada veteran UMNO, Ayub Ujang (kanan) ketika hadir ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin 2017 di Dewan Perdana, Tampin, Negeri Sembilan. Turut bersama Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Kelmarin, Mahdzir mendedahkan kementeriannya mengenal pasti empat elemen yang menjadi penyebab berlakunya peningkatan masalah disiplin terutama kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Katanya, faktor pemakanan, persekitaran, teknologi dan masyarakat menyebabkan pelajar pada masa kini menjadi lebih nakal daripada kebiasaan.
Sementara itu, Mahdzir berkata, pihaknya bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk meneroka lebih banyak kursus berkaitan bidang pengangkutan itu untuk diperkenalkan di Kolej Vokasional di bawah kementeriannya, pada masa depan.
"Malaysia akan mempunyai banyak perkhidmatan kereta api, termasuk Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), jadi kita perlu sediakan tenaga mahir dalam bidang berkenaan seiring peningkatan permintaan," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

KATA KERJA ( TRANSITIF & TAK TRANSITIF )

SISTEM EJAAN DAN SEBUTAN BAKU

KATA NAMA