Keusahawanan atasi pengangguran

Malaysia bakal menuju ke arah negara perindustrian menjelang 2020 yang membawa kepada perkembangan perniagaan yang begitu pesat dan penting.
Ia bukan sahaja berbentuk sektor sokongan malah lebih ke arah menyediakan asas dan teknologi bagi memastikan kemajuan dalam pembangunan perusahaan yang lebih besar pada masa akan datang.
Oleh itu, keusahawanan boleh menjadi satu bidang yang amat penting bagi sesebuah negara untuk menghakis budaya makan gaji dan pengangguran dalam kalangan rakyatnya.
Subjek wajib
Kesedaran akan kepentingan keusahawanan ini mendorong kerajaan terutama Kementerian Pengajian Tinggi, mewajibkan kursus keusahawanan sebagai subjek wajib di universiti awam (UA) sejak 2007 lagi.
Dari sudut pandang seorang mahasiswa yang masih menuntut di institusi pengajian, saya amat bersetuju dan menyokong usaha dilakukan kementerian bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja pakar dalam bidang diceburi, malah turut mahir dalam bidang keusahawanan.
Umum mengetahui bahawa hari yang mendatang tidak semudah yang dijangka, pelbagai persaingan bakal ditempuhi dek kerana krisis ekonomi yang kadangkala ada naik dan turunnya.
Gagal dapat pekerjaan
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsudin Bardan dalam satu kenyataan akhir tahun lalu, menyatakan lebih 200,000 siswazah berijazah institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini masih gagal mendapat pekerjaan walaupun sudah menamatkan pengajian masing-masing sejak dua tahun lalu.
Malah angka itu, tidak termasuk bilangan siswazah yang bakal menamatkan pengajian bagi tahun berkenaan.
Tambahan pula, menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, pada separuh tahun pertama 2015, sebanyak 3.8 peratus graduan menganggur di negara ini. Statistik untuk 2015 juga menunjukkan golongan tiada pendidikan rasmi mewakili dua peratus daripada kadar pengangguran keseluruhan, pendidikan rendah 1.2 peratus dan pendidikan menengah, 3.3 peratus.
Berbanding 2014, kadar pengangguran bagi golongan berpendidikan menengah dan tinggi, naik 0.2 peratus manakala kadar bagi golongan berpendidikan rendah, kekal.
Sikap bergantung kepada kerajaan dan kurang minat kepada bidang keusahawanan sebenarnya menjerumuskan seseorang itu ke dalam situasi yang tidak menentu seperti ini.
Kebanyakan individu, terutama siswazah lebih bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka pekerjaan daripada 'mencipta' pekerjaan sendiri dengan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan mereka.
Jadi, melalui pendedahan akan asas keusahawanan inilah, sedikit sebanyak dapat membantu mahasiswa membuat persiapan menghadapi kehidupan yang mencabar pada masa akan datang.
Pelajar tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada kerajaan dalam mencari pekerjaan selepas bergelar graduan nanti, kerana mereka mampu untuk berdikari dengan mengaplikasikan ilmu keusahawanan yang dipelajari di universiti.
Pemangkin jana ekonomi
Di samping itu, aktiviti keusahawanan sebenarnya bukan sahaja memberi keuntungan kepada mahasiswa itu sendiri malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan bina upaya kepada usaha meningkatkan inovasi, kreativiti dan daya saing sesebuah negara seperti dikemukakan oleh pengkaji Barat, Adam Smith.
Justeru, sokongan modal insan berkualiti dan kompetitif amat diperlukan bagi proses transformasi Malaysia daripada ekonomi berasaskan pengetahuan kepada ekonomi berpaksikan inovasi bagi mencapai aspirasi untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Penulis ialah pelajar tahun tiga, pengajian bahasa utama Universiti Sains Malaysia

Comments

Popular posts from this blog

KATA KERJA ( TRANSITIF & TAK TRANSITIF )

SISTEM EJAAN DAN SEBUTAN BAKU

KATA NAMA