Kongres Budaya 2017 penegas kepentingan pembudayaan masyarakat



KUALA LUMPUR: Sejak negara merdeka dan berdiri sebagai sebuah negara berdaulat, pelbagai cabaran berjaya ditempuh dalam mengorak langkah menuju kemajuan.

Bagaimanapun Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, selepas enam dekad, kelihatan cara hidup masyarakat Malaysia masih tidak menggambarkan kemajuan negaranya, tidak seiring dengan segala kejayaan yang telah dilakar.

Masing-masing sibuk berusaha mengejar kemajuan fizikal; wang ringgit, membina bangunan pencakar langit tertinggi, merancak pelaburan, sehingga melupakan aspek terpenting dalam kehidupan sebagai manusia Timur lebih-lebih lagi berbangsa Melayu.

”Sejak lebih kurang 30 tahun kebelakangan ini, kita lihat sekitar tanah air kita dari sudut pembudayaan atau cara hidup kian lama kian hilang.

“Budi makin lama makin tidak ada dalam amalan kita. Masing-masing menerpa dan mencari jalan bagaimana untuk lebih kaya, bagaimana lebih mempunyai sifat-sifat rakus dan sifat-sifat yang tidak dapat membantu kita membina masyarakat yang ulung diidamkan oleh pengasas tanah air kita.

"‘Takkan Melayu hilang di dunia,’ kata Hang Tuah, tetapi kalau budayanya tidak menjadi amalan dan dipelihara, ia pasti akan hilang," katanya.


Jelasnya, budaya dalam erti kata cara hidup yang merangkumi amalan nilai-nilai tinggi melalui budi serta kesenian dan warisan sesuatu bangsa tidak lagi diketengahkan sebagai unsur utama kehidupan di Malaysia.

"Amalan berbahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan tidak lagi membasahi bibir, tulisan Jawi semakin nazak, kesenian hanya menjadi pameran kepada para pelancong luar, tapak-tapak warisan tidak dijaga malah dilupuskan, politik tidak berlandas kesopanan dan kesusilaan, perpaduan masih menjadi kata retorik dan budi pekerti mulia tidak lagi satu amalan.

“Setelah 60 tahun merdeka, kenapa tandas awam kita masih kotor dan berbau? Ini soal yang orang tidak mahu perkatakan tetapi berlaku dalam masyarakat kita. Tentu sekali ada sesuatu yg tak kena,” katanya.

Ujarnya, perkara-perkara tersebut jika tidak diperbaiki akan terus memburuk, dan akhirnya masyarakat Malaysia tiada jati diri seterusnya akan hilang ditelan zaman.

Maka tegas Dr Rais, wajar untuk dianjurkan Kongres Budaya sebagai penegas kepada usaha memperkukuh kembali cara hidup berbudaya masyarakat Malaysia, khususnya Melayu dalam membentuk negara yang benar-benar maju segenap aspek.

"Tetapi mengapa sekarang baru hendak dibuat, sejak kali pertama dan terakhir diadakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 yang menyaksikan ia dirasmi Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdul Razak Hussein?

“Kalau tidak sekarang, bila lagi? Saya khuatir sekiranya generasi selepas kami akan muncul satu masyarakat yang tidak mengenal diri mereka,” tegasnya.

Kongres tersebut yang bakal berlangsung pada 15 April ini akan mempertemukan para cendekiawan, budayawan, dan ilmuan serta wakil-wakil badan kerajaan dan bukan kerajaan, juga institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Mereka akan membincangkan pelbagai aspek tentang permasalahan dalam pendidikan, dasar-dasar kerajaan dan peranan badan beratanggungjawab misalnya, serta solusinya yang akan dikumpul dan dijadikan rumusan.

Rumusan itu kemudian akan diserah kepada Majlis Raja-Raja Melayu serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang akan merasmikan kongres itu nanti.

Rais turut berharap ia dapat dijadikan panduan untuk kerajaan merangka dasar demi usaha murni tersebut.

“Ketika ini Transformasi Nasional 2050 (TN50) sedang heboh diperkatakan, jadi kami yang mengendalikan kongres ini ingin memasukkan idea saranan supaya ada beberapa aspek pembudayaan hendaknya.

“Di bawah TN50 kita jangan hendaknya mempersoal tentang ekonomi pembangunan dan kegahan politik semata-mata tapi mesti ada kandungan pembudayaan, mengasuh anak-anak mulai darjah bawah sampai atas,” jelasnya.

Menuju hari kongres, beberapa acara dialog dan bengkel serta pelbagai aktiviti yang dikendali oleh tokoh-tokoh budaya seperti Profesor Dr Hasan Mad, Datuk Seri Md Salleh Yaapar, Profesor Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar akan dianjurkan mulai bulan ini.

Comments

Popular posts from this blog

KATA KERJA ( TRANSITIF & TAK TRANSITIF )

SISTEM EJAAN DAN SEBUTAN BAKU

KATA NAMA