Rasa enak, tahan lama

Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Idea menyajikan makanan berkualiti dan tahan lama kepada anggota keselamatan menjadi intipati kepada inovasi pembungkusan makanan menggunakan teknologi kantung retort.
Penyelidikan teknologi oleh pasukan ketenteraan Amerika Syarikat bersama Reynolds Metals Company dan Continental Flexible Packaging itu dilihat sebagai penyelesaian kepada tentera dan program angkasa lepas NASA.
Dianugerahkan ‘Food Technology Industrial Achievement Award’ pada 1978, teknologi ini memperkenalkan sejenis pembungkusan makanan yang melalui proses secara aseptik.
Kantung retort yang memiliki ketahanan suhu mencecah 130 Celsius ini diperbuat daripada lapisan filem felksibel (flexible laminate) yang membolehkan pembungkusan disteril sekali gus mempunyai jangka hayat antara 18 bulan hingga 24 bulan.
Teknologi ini dikomersialkan secara meluas oleh Jepun sebelum Dewina Food Industries Sdn Bhd menjalinkan kerjasama erat untuk melancarkan barisan produk makanan bawah label Brahim’s sejak 1988.
Menurut Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan Dewina Food Industries Sdn Bhd, Ruzita Mat Ali, teknologi kantung retort ini jauh lebih fleksibel berbanding jenis pembungkusan lain terutama tin.
“Rangkaian produk Brahim’s akan dimasak terlebih dulu mengikut formulasi ditetapkan, kemudian ia akan dimasukkan ke dalam kantung retort untuk dipekkan dan dipanaskan pada suhu tertentu.
“Produk dipanaskan pada suhu pensterilan dalam beberapa minit bertujuan menghapuskan bakteria dalam makanan dan menghalang ia daripada rosak. Berbanding produk dalam tin, masa memasak dapat dikurangkan antara 30 hingga 50 peratus.
“Dalam masa sama, nutrisi makanan dapat dikekalkan malah rasanya lebih enak dan berkualiti,” katanya sambil menegaskan produk Brahim’s tanpa bahan MSG, perisa, pengawet dan pewarna tambahan.
Jelasnya lagi, proses penyelidikan dan pembangunan produk Brahims’s Meal Ready to Eat (MER) mengambil masa kira-kira dua tahun untuk menghasilkan produk yang berkualiti, berkhasiat serta memenuhi cita rasa pelanggan.
Antara menu Brahim’s MER adalah Nasi Goreng Kampung, Nasi Goreng Ayam, Nasi Tomato, Nasi Cendawan dan Keju, Nasi Goreng Ikan Masin, Nasi Briyani Ayam, Nasi Briyani Kambing, Nasi Lemak Sambal Ikan Bilis dan Nasi Arab Kambing.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:00 AM

Comments

Popular posts from this blog

KATA KERJA ( TRANSITIF & TAK TRANSITIF )

SISTEM EJAAN DAN SEBUTAN BAKU

KATA NAMA