Pakatan 2 IPTA hasilkan pengering makanan laut

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bekerjasama membangunkan prototaip alat pengering makanan laut yang dilengkapi ciri termaju hasil kajian mereka.
Mengambil kira kebergantungan industri makanan laut kering di negara ini pada faktor lokasi dan komuniti nelayan, inovasi itu mampu membantu mengatasi masalah dihadapi pengusaha terbabit.
Penyelidik utama dari UMK, Dr Hafiz Jamaludin, berkata prototaip alat pengering yang menelan kos RM10,000 itu juga boleh digunakan pada waktu malam.
"Dengan adanya elemen pemanas yang dikuasai sepenuh tenaga solar, alat ini dilengkapi penderia kelembapan bagi mengawal tahap proses pengeringan secara automatik dan konsisten," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Hafiz berkata, teknik pengeringan terbuka diamalkan ketika ini ada beberapa kelemahan ekoran kebergantungan pada cahaya matahari, selain risiko kebersihan proses itu secara keseluruhan yang terdedah kepada habuk, debu dan ancaman penyakit bawaan serangga serta haiwan perosak.
INOVASI dilengkapi rak bertingkat yang menjimatkan ruang untuk mengeringkan produk dikehendaki. - Foto Ihsan Pembaca
INDUSTRI keropok memerlukan proses pengeringan yang sistematik dan terkawal bagi menghasilkan produk berkualiti tinggi. - Foto Ihsan Pembaca
Saiz kompak
Katanya, inovasi dibangunkan dalam saiz kompak itu juga membuka peluang bagi pengusaha di luar kawasan pantai menghasilkan makanan kering berkenaan yang secara tradisi memerlukan tempat lapang dan luas untuk mengeringkan produk terbabit.
"Buat masa ini, ia boleh menampung kapasiti 50 kilogram (kg) makanan laut pada satu-satu masa dan mampu memendekkan tempoh pengeringan kepada 24 jam sahaja," katanya.
Keberkesanan prototaip itu sedang diuji di lapangan, termasuk bakal digunakan oleh komuniti nelayan di kawasan pendaratan ikan di Kampung Nelayan Pantai Sri Tujoh, Kelantan, bagi mengeringkan hasil makanan laut untuk pasaran tempatan.
Haba sekata
Hasil kajian lanjut itu memungkinkan peningkatan kualiti produk tempatan berkaitan sehingga mampu menembusi pasaran luar negara dengan nilai lebih tinggi.
Penyelidik UM, Dr Mohd Sayuti Ab Karim, pula berkata walaupun tujuan asal ialah membantu pengusaha keropok tempatan untuk menghasilkan produk lebih konsisten kualitinya, inisiatif terbabit berjaya menghasilkan alat pengering ideal serba guna.
"Produk ini mampu menyebarkan haba sekata terhadap keseluruhan permukaan produk yang dikeringkan sepanjang hari," katanya.
INOVASI dilengkapi rak bertingkat yang menjimatkan ruang untuk mengeringkan produk dikehendaki. - Foto Ihsan Pembaca
INFO
Prototaip alat pengering makanan laut
  • Penyelidikan bermula 2015 dan dijadualkan berakhir pada 2019
  • Dana geran penyelidikan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi
  • Dilengkapi rak bertingkat, sekali gus menjimatkan ruang kerana tidak memerlukan kawasan luas untuk mengeringkan produk
  • Mampu mengekalkan haba cahaya matahari untuk kegunaan pada waktu malam menggunakan elemen pemanas
  • Mempunyai pelaras suhu berpenderia yang mampu mengawal secara automatik kadar kehilangan kelembapan bahan makanan ingin dikeringkan
  • Kegunaan tidak terhad untuk makanan laut sahaja, boleh turut mengeringkan produk lain
  • Kebersihan produk terjamin dengan adanya pintu kedap udara dan sistem pengudaraan yang menghindari pertumbuhan mikroorganisma

Comments

Popular posts from this blog

KATA KERJA ( TRANSITIF & TAK TRANSITIF )

SISTEM EJAAN DAN SEBUTAN BAKU

KATA NAMA