Melahirkan belia usahawan atasi pengangguran

Isu kadar pengangguran dalam kalangan remaja di negara kita hangat diperkatakan kebelakangan ini, rentetan hasil kajian Bank Negara Malaysia (BNM) yang terkandung dalam laporan tahunan 2016.
Menurut kajian itu, berdasarkan data 2015, kadar pengangguran remaja di negara ini adalah 10.1 peratus, lebih tiga kali ganda daripada kadar pengangguran secara keseluruhannya, 3.1 peratus.
Isu pengangguran remaja berusia antara 15 hingga 24 tahun, bukan sesuatu yang baru dan unik dihadapi Malaysia sahaja.
Permasalahan ini sebenarnya turut membelenggu negara lain. Secara amnya, kadar purata pengangguran remaja di dunia lebih tinggi berbanding kadar pengangguran rasmi di semua negara.
Pengangguran remaja di dunia pada 2015 dicatatkan pada kadar purata 13 peratus. Secara perbandingan, kadar pengangguran remaja dalam kalangan negara-negara adalah tinggi.
Contohnya di Afrika Selatan, kadarnya mencapai 53.3 peratus, Sepanyol (44.5 peratus), Itali (37.8 peratus), Perancis (24.6 peratus), Sweden (18.8 peratus), New Zealand (13.2 peratus), Australia (12.7 peratus), Norway (11.1 peratus), Amerika Syarikat (10.4 peratus), Jerman (tujuh peratus) dan Jepun (5.2 peratus).
Pengangguran remaja ini secara dasarnya didorong keadaan struktur ekonomi itu sendiri. Peluang pekerjaan diwujudkan dalam sesebuah ekonomi berdasarkan beberapa faktor pendorong.
Pertumbuhan ekonomi
Antara faktor yang boleh merancakkan lagi sektor pekerjaan adalah pertumbuhan ekonomi yang baik, keyakinan dan prospek positif mengenai peluang masa depan oleh golongan peniaga selain kemasukan pelaburan asing yang membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Oleh yang demikian, keadaan ekonomi semasa memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dan permintaan kepada sektor pekerjaan serta buruh. Dalam pada itu, jurang yang tidak sekata antara penawaran tenaga kerja serta permintaan daripada sektor awam dan swasta menyebabkan sebahagian tenaga kerja tidak mendapat pekerjaan.
Dalam situasi ekonomi yang mencabar, remaja kurang pengalaman biasanya agak sukar mendapatkan pekerjaan berbanding individu dewasa yang lebih berpengalaman. Perkembangan ini sesuatu yang biasa dialami hampir semua negara dan bukan fenomena baru.
Dalam pada itu, perlu ditekankan mengenai peluang pekerjaan yang diwujudkan dan ditawarkan sektor awam serta swasta. Peluang pekerjaan yang diwujudkan ini adalah berdasarkan keperluan semasa seperti penggantian atau jawatan baharu disebabkan perkembangan syarikat.
Contohnya, di Malaysia kira-kira 92 peratus pekerja dalam sektor swasta. Oleh itu, keadaan ekonomi semasa memainkan peranan amat penting menentukan keadaan sektor pekerjaan.
Atas sebab sama juga, untuk memastikan peluang pekerjaan terus dijana sektor swasta, satu pendekatan yang mampan perlu direncanakan. Ini membabitkan tindakan dan usaha menerapkan budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat amnya dan remaja secara khususnya.
Kecenderungan ke arah dunia perniagaan bukan sahaja membantu perkembangan ekonomi tetapi pada masa sama, dapat mewujudkan peluang pekerjaan. Pertambahan jumlah perniagaan secara langsung meningkatkan penawaran dalam sektor pekerjaan.
Laporan kajian Global Entrepreneurship Monitor (GEM) 2016, meletak Malaysia di tangga kedua terakhir dari sudut aktiviti keusahawanan peringkat awal. Ini bermakna kecenderungan untuk memulakan perniagaan dalam kalangan generasi muda di Malaysia sangat rendah.
Menurut kajian itu, hanya 4.9 peratus daripada mereka berusia antara 18 hingga 64 tahun bercadang menceburkan diri dalam perniagaan. Daripada dapatan kajian itu juga secara amnya, boleh dirumuskan bahawa dengan kurangnya kecenderungan ke arah keusahawanan oleh rakyat Malaysia, ia menyebabkan potensi peluang pekerjaan baharu berkurangan pada masa hadapan.
Perkembangan ini harus dikaji dengan teliti kerana jika dilihat pengalaman negara maju, kecenderungan ke arah keusahawanan jelas memainkan peranan besar bukan sahaja dari segi menyediakan peluang pekerjaan, bahkan menjadi ejen pemangkin dalam melahirkan hasil inovasi yang tinggi.
Hasil belum memberangsangkan
Jika dilihat dari segi struktur ekosistem keusahawanan di Malaysia, banyak usaha dilaksanakan dalam menerapkan minat ke arah menjadi usahawan.
Namun, inisiatif yang dijalankan itu belum menampakkan kesan dan hasil memberangsangkan. Jika dilihat potensi yang dapat dijana daripada bidang keusahawanan ini, ia bukan sahaja mampu menjana ekonomi domestik bahkan dapat menyelesaikan isu pengangguran dalam kalangan remaja.
Oleh itu, penekanan serius harus diberikan kepada inisiatif menjurus kepada penerapan budaya keusahawanan dan melahirkan usahawan yang berjaya.
Penulis adalah Ketua Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd

Comments

Popular posts from this blog

KATA KERJA ( TRANSITIF & TAK TRANSITIF )

SISTEM EJAAN DAN SEBUTAN BAKU

KATA NAMA